
Majlis Penganugerahan Sijil Graduan Program Basis Bay Data Centre Foundation Certificate (DCFC)
12 Ogos 2025 | Majlis Penganugerahan Sijil Graduan Program Basis Bay Data Centre Foundation Certificate (DCFC) yang telah diadakan pada petang tadi di premis Basis Bay, Glenmarie dihadiri oleh delegasi ADTEC JTM Kampus Kuala Langat yang diketuai oleh Tuan Pengarah, Ts. Yuslan bin Yasok, 2 orang pegawai pengiring serta 4 orang pelajar.
Pada bulan Mei yang lalu, 4 orang pelajar dari bahagian Teknologi Komputer Rangkaian bersama-sama 16 orang lagi pelajar dari Kolej MySkills Campus telah dipilih untuk menyertai kursus asasi Data Centre Foundation Certificate (DCFC) Programme yang berlangsung selama 10 hari di syarikat Basis Bay dan Universiti Malaya (UM). Selesai kursus, para pelajar tersebut telah menduduki peperiksaan dan seramai 8 orang telah berjaya lulus dengan cemerlang, termasuk 4 orang pelajar dari ADTEC JTM Kampus Kuala Langat. Keseluruhan kursus dan peperiksaan tersebut ditaja sepenuhnya oleh pihak syarikat Basis Bay.
Susulan itu, majlis yang berlangsung sebentar tadi adalah bagi menganugerahkan sijil Basis Bay Data Centre Foundation Certificate (DCFC) kepada para pelajar yang berjaya lulus peperiksaan tersebut. Tahniah diucapkan kepada para pelajar terlibat yang telah berjaya lulus dengan cemerlang di samping mengangkat imej institut di kalangan pemain industri.
Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak syarikat Basis Bay di atas peluang serta pendedahan latihan yang diberikan kepada para pelajar ADTEC JTM Kampus Kuala Langat. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan terus diperkukuhkan dan diteruskan lagi dengan pelbagai aktiviti yang memanfaatkan kedua-dua pihak di masa akan datang.