Accessibility Tools

Demo VR oleh  Bengkel Multimedia di Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku

Demo VR oleh Bengkel Multimedia di Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku

5 Disember 2025 | Para pelajar Bengkel Multimedua ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah turut terlibat dalam menjayakan demonstrasi Virtual Reality (VR) sempena Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku. Pelajar-pelajar kami berpeluang menunjukkan penggunaan teknologi VR dalam pembelajaran interaktif kepada para pengunjung. Melalui demo ini, pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman pembelajaran imersif serta melihat bagaimana teknologi VR menyokong agenda TVET masa kini. Tahniah kepada pelajar yang terlibat kerana berjaya mengendalikan sesi demo dengan penuh semangat.
Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025

Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025

21 November 2025 | Pihak ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah menjayakan Majlis Penutup Aktiviti Ko-Kurikulum Sesi 2/2025 yang melibatkan kolaborasi bersama Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Langat. Program yang berlangsung pada petang tadi telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Latihan ADTEC JTM Kampus Kuala Langat, En. Loh Hong Wai, dan turut dihadiri oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting sebagai tetamu dan juri bagi aktiviti cabaran. Program ini telah disertai oleh semua pelajar Semester 1 dan Semester 2 ADTEC JTM Kampus Kuala Langat, yang turut bertanding dalam acara kemuncak seperti Fire Fighter Challenge dan Medical Endurance. Majlis Penyampaian Hadiah turut disempurnakan oleh En. Loh Hong Wai. Majlis penutup ini diadakan bagi merasmikan tamatnya Sesi Ko-Kurikulum 2/2025 dan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan, di samping memberi pendedahan dan pengiktirafan kepada para pelajar yang cemerlang dalam menguasai kemahiran asas keselamatan dan kecemasan. Semoga program ini memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam kemahiran teknikal, tetapi juga berdaya tahan dan cekap dalam situasi kecemasan.
Sesi Perkongsian MyNext Campus Ambassador

Sesi Perkongsian MyNext Campus Ambassador

14 November 2025 | Satu sesi perkongsian bertajuk “Your Future Starts Here: Explore. Discover. Grow with MyNext.” telah berlangsung pada 11 November 2025 yang lalu. Sesi ini telah disampaikan oleh MyNext Campus Ambassador ADTEC JTM Kampus Kuala Langat, saudari Nur Athilia Sofia binti Mohd Tarmizi, kepada rakan-rakan sekelas beliau dari Diploma Teknologi Pembangunan Aplikasi (Web & Mobile). Perkongsian ini diadakan bagi memberi pendedahan dan berkongsi maklumat mengenai platform MyNext di bawah TalentCorp. Ia bertujuan untuk membantu para pelatih meneroka peluang dan faedah yang ditawarkan oleh MyNext untuk perancangan kerjaya dan pembangunan kemahiran insaniah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada saudari @athiliasofia atas inisiatif proaktif beliau! Semoga perkongsian ini memberi manfaat dan mendorong semua pelatih untuk memanfaatkan sepenuhnya platform MyNext.
Kursus Imam & Bilal ADTEC JTM Kampus Kuala Langat

Kursus Imam & Bilal ADTEC JTM Kampus Kuala Langat

11 Oktober 2025 | Surau Ar-Rahman ADTEC JTM Kampus Kuala Langat telah berjaya menganjurkan Kursus Imam dan Bilal pada 11 Oktober 2025 (Sabtu) bertempat di Surau Ar-Rahman, ADTEC JTM Kampus Kuala Langat. Program ini disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar ADTEC Kuala Langat yang merupakan imam dan bilal sedia ada, serta mereka yang berpotensi untuk memikul tanggungjawab tersebut pada masa akan datang. Bagi peserta sedia ada, kursus ini bertujuan menggilap kemantapan prestasi dan keyakinan mereka ketika memimpin solat dan melaungkan azan. Sementara itu, peserta baharu diberi pendedahan awal dan latihan asas sebagai persediaan menjadi imam dan bilal di masa hadapan. Penceramah jemputan, Ustaz Mohd Faizal bin Ngadiman, turut berkongsi ilmu dan pengalaman berharga berkaitan adab, tanggungjawab serta kemahiran sebagai imam dan bilal dalam menguruskan solat berjemaah dengan baik dan tertib. Menariknya, program ini diurus sepenuhnya oleh barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan AJK Surau Ar-Rahman yang terdiri daripada pelajar sendiri. Inisiatif ini menunjukkan bahawa pelajar ADTEC bukan sahaja hebat dalam bidang kemahiran teknikal, tetapi juga berjiwa kepimpinan dan tinggi nilai spiritualnya. Selaras dengan visi ADTEC Kuala Langat, pelajar bukan hanya dibentuk sebagai tenaga mahir industri, tetapi juga diseimbangkan dengan ilmu agama dan kepimpinan rohani, agar lahir generasi berkemahiran, berakhlak dan berjiwa imam. Tahniah dan syabas kepada semua peserta, penceramah jemputan, MPP serta AJK Surau Ar-Rahman atas komitmen dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni ini terus menyuburkan budaya ilmu dan kepimpinan di kalangan pelajar ADTEC Kuala Langat. Kami bukan sekadar melahirkan pelajar berkemahiran, tapi insan berakhlak dan berjiwa imam.
Program "Inspirasi MPP Wilayah Tengah: Dari Pelajar ke Pelajar"

Program "Inspirasi MPP Wilayah Tengah: Dari Pelajar ke Pelajar"

7-8 OKTOBER 2025 | Program “Inspirasi MPP Wilayah Tengah: Dari Pelajar ke Pelajar” telah berlangsung dengan jayanya pada 7 dan 8 Oktober 2025 bertempat di ADTEC JTM Kampus Shah Alam. Program selama dua hari ini menyasarkan seramai 50 orang Majlis Perwakilan Pelajar dari 5 buah ADTEC JTM Wilayah Tengah sebagai peserta, serta bertujuan untuk memperkukuh kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan MPP. Antara pengisian utama dalam program ini ialah sesi ‘ice breaking’ yang menggalakkan interaksi awal dalam kalangan MPP, slot bersama KOMAS untuk perkongsian motivasi, serta Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bertema kepimpinan seperti “The Great Leader”, “Pemimpin & Tindakan” serta “Refleksi Kepimpinan”. Program ini turut diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, YBhg. Datuk Rospiagos Bin Taha sebagai Perasmi Majlis Penutup Program “Inspirasi MPP Wilayah Tengah: Dari Pelajar ke Pelajar”. Kehadiran beliau memberi suntikan semangat dan penghargaan kepada usaha bersama dalam melahirkan barisan kepimpinan pelajar yang dinamik serta mampu memacu pencapaian pelajar ADTEC JTM Wilayah Tengah khususnya. Program seperti ini adalah selari dengan usaha Jabatan Tenaga Manusia dalam menyediakan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang kemahiran tetapi juga mampu memimpin komuniti serta menyumbang kepada pembangunan sektor industri negara.

Alamat

Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat 
Jalan Sultan Abdul Samad
42700 Banting, Selangor Darul Ehsan
 
 Telefon : 03 - 3120 4600
 Faksimili : 03 - 3120 4440
 Email : info.ilpkls@jtm.gov.my 

 

 

Media Sosial