Pameran ARVR di Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM)
22 – 24 Nov 2024 |ILP Kuala Langat bersama ADTEC Shah Alam telah bertugas sebagai pempamer di reruai JTM, KESUMA sempena Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024, yang berlangsung dari 22 hingga 24 November 2024.
Projek Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) yang dihasilkan oleh pelajar Bengkel Multimedia Interaktif ILP Kuala Langat menjadi tarikan utama. Teknologi ini mempamerkan kreativiti dan kemahiran pelajar, menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, pendidik, dan wakil industri.
Di samping mempamerkan hasil kreativiti pelajar, reruai ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan oleh Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM). Produk dan hasil kerja pelajar digunakan sebagai medium promosi, memberikan gambaran sebenar tentang kualiti latihan yang ditawarkan.
Penyertaan ini bukan sahaja memupuk kesedaran mengenai peluang latihan teknikal dan vokasional, tetapi juga menunjukkan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkasa bakat tempatan dan menyokong reformasi sektor perkhidmatan awam.