
Kursus Kenegaraan Malaysia Madani
26 hingga 28 Julai 2025 | Seramai 80 orang pelajar ADTEC JTM Kampus Kuala Langat diiringi seramai 5 pengajar pengiring telah menghadiri Kursus Kenegaraan Malaysia Madani bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Tanjung Rhu, Sungai Pelek, Selangor. Kursus ini merupakan anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia dan diuruskan oleh En Syazul Firdaus bin Dzulkefly bertujuan untuk membina kefahaman yang mendalam tentang nilai-nilai kenegaraan, patriotisme, dan konsep Malaysia Madani yang menjadi tonggak kepada perpaduan dan pembangunan negara.
Antara modul utama yang diterima sepanjang kursus ialah sejarah dan perkembangan kenegaraan Malaysia, prinsip dan nilai-nilai Malaysia Madani, kepentingan perpaduan nasional, kepimpinan berintegriti dan bertanggungjawab, aktiviti berkumpulan dan perkongsian pengalaman dan sesi ceramah serta dialog interaktif dengan penceramah jemputan.
Sepanjang kursus, semua pelajar berpeluang berinteraksi walaupun dari pelbagai latar belakang tentang pentingnya perpaduan dan nilai-nilai murni dalam membina negara bangsa. Aktiviti berkumpulan dan sesi dialog telah meluaskan pengetahuan pelajar serta meningkatkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Kursus Kenegaraan Malaysia Madani ini sangat bermanfaat dalam membentuk semangat cintakan negara dan kesedaran kenegaraan di kalangan pelajar. Semoga ilmu yang diperoleh dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dan dikongsi bersama rakan-rakan lain.
Terima kasih diucapkan kepada jurulatih dan fasilitator daripada Akademi Kenegaraan Malaysia.